Mari Letak Link

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mak cik Jijah

Anak-anak aku memanggilnya ' nenek Jijah'. Tapi nama sebenar dia adalah Azizah.
Azizah binti Haji Ahmad Shah. Ibunya kacukan arab/punjabi.
Bapanya kacukan arab/jawa. Dia mak cik aku. Adik bapak - satu bapa berlainan ibu.
Dari kecil aku hanya kenal namanya sahaja. Orangnya aku tidak pernah jumpa.
Usianya kini 62 tahun. Adik beradik bapak aku yang berlainan ibu memang ramai.
Berbelas orang dan Mak cik Jijah adalah salah seorang mak cik yang aku hanya kenal
dan mula menjadi rapat bila dah dewasa dan bila dah tak berapa nak muda ni.
Itu pun kerana dia yang berusaha mencari aku di sini.
Hemm, banyak pahala dia kerana berusaha meneruskan siratulrahim antara kami.



Yang bestnya tentang keluarga besar aruah yai ( atuk ) aku, isteri-isterinya memang
dari berbagai suku kaum. Isteri pertamanya adalah nenek aku kacukan cina/belanda.
Sementara isteri ke 2nya memang orang jawa Muar, isteri ke 3nya juga orang Muar.
Dan ada lagi beberapa orang bekas isteri ( nenek-nenek tiri ) yang tidak pernah aku
kenali mahu pun jumpa kecuali melalui cerita aruah bapak.
Mak cik Azizah adalah anak kepada salah seorang bekas isterinya yang telah bercerai
hidup tapi alhamdulilah masih memelihara ikatan persaudaraan dan ikatan darah walau
pun datang dari ibu yang berbeza ( siapa kata bermadu itu pahit ? ).

Aku tahu satu masa dahulu  Mak cik Azizah seorang yang rajin dan kuat berusaha.
Dia memang pandai berniaga dan perniagaan telah menjadi darah dagingnya sehingga
ke tua. Dia hidup senang walaupun hanya mengusahakan perniagaan apam balik dan
cendol di Johor. Bila usianya semakin meningkat dia menyerahkan perniagaan kepada
anaknya untuk diambil alih dan di usianya 62 tahun dia masih aktif bergerak ke sana sini
Menziarahi adik beradik, anak-anak saudara dan mak-mak saudara sambil berniaga
direct selling.

Satu yang pasti tentang Mak Cik Azizah dia sangat berbangga berbinkan Hj. Ahmad Shah.
Dia sangat bangga menjadi anak kepada aruah yai (atuk aku ) walau pun dia tidak merasa
tinggal bersama yai diketika kecil, remaja dan dewasa. Mak cik Azizah hanya dapat
bertemu aruah yai beberapa kali sewaktu aruahnya masih ada. Walau air mukanya
garang, mak cik mempunyai hati yang mulia dan sangat menyayangi adik-beradiknya
yang lain, yang tidak seperut dan tidak pernah tinggal bersama dengan mereka.
Ya Allah, besarnya pahala untuk orang yang mengurus siratulrahim dengan baik dan
bijak. Selalu dia ingatkan aku bila kami berkesempatan untuk berbual,
' jangan lupa Lyn, mungkin mak kau jawa, mak mak cik - arab-punjabi, nenek kau
cina-belanda, tapi aruah yai kau sebenarnya bukan Jawa tulin. Atuk kepada aruah yai
adalah orang arab Yaman yang telah membuang gelaran syednya sewaktu
bermastautin di Demak dan hanya mengaku jawa.'

Aku hanya senyum kerana sebenarnya aku dah tau kisah itu sejak kecil kerana aruah nenek
dah jelaskan perkara itu sendiri dengan aku. Sebenarnya apa ada pada keturunan ?
Akhlak boleh dibentuk tapi iman yang sebenarnya tidak boleh diwarisi.
Dan aku amat sedar di Padang Mahsyar nanti Allah tak bertanya pun samada kita ini
dari golongan Syed atau pun tidak. Semua makhluk diadili berdasarkan amal masing-
masing.

                                 
Masjid Hj. Ahmad Shah di Rimba Terjun Pontian

Cuma mungkin Mak Cik Zizah tidak tau satu perkara yang aku tidak pernah lupa
sehingga kini......................................................................................................
Dia tak tahu yang aku cucu kesayangan yai. Dia tak tahu yai selalu jadi kuda tunggangan
aku dan bergerak di sekeliling rumah dan diperhati oleh bapak-bapak saudara yang lain.
Dia tak tahu yang yai tak pernah marah aku sewaktu aku memanjat naik ke madrasahnya
( tempat dia berkhalwat ) yang isteri-isterinya pun tak berani naik. Dia mungkin
tidak tahu bagaimana aku selalu diangkat dan diletakkan berdiri di atas meja oleh
bapak-bapak dan mak saudara, dibayar 20 sen dan disuruh menyanyi. Bila yai lalu
semua orang ketakutan dan tunduk. Tapi yai senyum dan suruh aku sambung menyanyi.
Waktu itu umur aku sekitar 3 tahun lebih dan aku tak tahu bagaimana aku boleh mengingati
semua itu sehingga kini.

Cik Zizah tak tahu hanya aku yang dibenarkan memakai gelang kaki yang berloceng
di Villa Haji Ahmad Shah di Rimba Terjun di saat anak-anak gadisnya yang lain dilarang
dari memakai gelang kaki berloceng. Dan aku masih minat bergelang kaki loceng hingga
kini cuma locengnya aku matikan.

Dan ketika diberitakan aruah yai meninggal, aku masih di usia 5 tahun dan masih aku ingat
bapak mencampung aku naik bas yang sesak untuk melihat yai bagi kali terakhir.  Dan aku
memang masih ingat bagaimana susahnya bapak mengharung ribuan pengikut aruah yai
yang memberikan penghormatan terakhir untuk gurunya. Bapak dudukkan aku betul-
betul  di sebelah atas kepala jenazah dan waktu bapak suruh aku cium
aruah yai bagi kali terakhir aku dapat lihat wajah aruah yai yang manis tersenyum.

Bila Mak Cik Zizah mengulang bercerita tentang aruah yai....., dia hanya buat aku teringat
dan sebak. Kerana sehingga kini sebenarnya aku masih teringatkan semua kenangan
manis dengan aruah yai dan kenangan itu hanya membuat aku semakin rindu.






Nota : Maksud berkhalwat dan suluk adalah mengambil keputusan untuk memisahkan
diri dari runtunan duniawi dengan memencilkan diri di ruangan yang sempit untuk beribadah
dengan mematikan ego dan selera dan berniat hanya kerana Allah.







No comments:

Post a Comment